Hutang dan pinjaman dalam perniagaan

Seringkali kita terdengar kisah-kisah peniaga memberi hutang tetapi tidak mendapat semula wang yang dipinjamkan itu. Ada juga kisah yang lebih tidak enak didengar iaitu peniaga tidak membayar hutangnya.

Berhutang dan memberi pinjaman/hutang adalah perkara biasa dalam perniagaan. Adakala kita berhutang dengan pembekal, ada masanya pula pelanggan berhutang dengan kita.



Berhutang dalam perniagaan adalah perkara biasa. Namun begitu hutang perlu dibayar dan bukan ditambah. Jika kita menambahkan hutang kita, ini boleh menimbulkan kesusahan bukan sahaja kepada perniagaan kita malahan kepada si pemiutang dan menjejaskan kesemua pihak.

Islam menggariskan prosedur dalam memberi hutang, iaitu ia perlu bertulis dan dilakukan di hadapan saksi. Ini jelas apa yang tergambar dalam ayat 282-83 dalam Surah al-Baqarah. 



Surah Al-Baqarah Ayat [282]: 

 Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya.

 Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. 

Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. 

Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. 

Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. 

Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjualbeli .Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. 

Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Biasanya kita mengambil ringan saranan ayat ini dengan memberi hutang tanpa adanya dokumen tertentu. Ini berbeza apabila kita melihat prosedur bank dalam memberi hutang atau pinjaman.

Semuanya bertulis dan ada implikasi undang-undang. Ini yang sepatutnya dilakukan setiap individu dalam memberi hutang.

Maka secara asasnya, setiap hutang perlu ada perjanjian bertulis dimana dalam perjanjian tersebut ada disebutkan perkara-perkara ini:-

  1. Nilai hutang
  2. Tempoh berhutang
  3. Saksi

Seterusnya adalah menjadi tanggungjawab orang yang berhutang membayar hutangnya.

Dalam perniagaan kaum cina juga, pembayaran hutang sangat diambil berat. Menurut buku Rahsia Bisnes Orang Cina karya Ann Wan Seng, para peniaga Cina akan menyelesaikan hutang tiga hari sebelum menjelang tahun baru. Ini kerana menurut adat dan kepercayaan mereka, hutang merupakan satu petanda yang tidak baik. Maka hutang perlu diselesaikan. 

Dalam Islam pula, kebaikan seseorang akan tergantung di hari akhiratsekiranya hutang belum dijelaskan. Dalam pada itu Islam menyaran supaya orang yang berhutang diberi kesempatan menangguh pembayaran hutang sekiranya tidak mampu.

Penghutang tidak boleh diancam atau dikenakan bunga pula atas penangguhan. Islam juga menyarankan supaya orang yang memberi hutang membebaskan orang yang berhutang dari membayar hutang sama ada sepenuhnya atau sebahagian sekiranya mampu.

Walau bagaimanapun, sekiranya masih perlu mendapatkan kembali hutang anda, banyaklah berdoa kepada Allah semoga dibuka hati penghutang tersebut. Seterusnya jadilah ia sebagai iktibar untuk masa akan datang.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms
Site Meter