Meningkatkan Estim Diri



Dalam dunia yang serba mencabar ini, mempunyai keadaan mental dan emosi yang sihat amat penting supaya kita dapat terus bertahan dan berhadapan dengan kehidupan. Sebagai seorang wanita, ibu (bekerjaya atau surirumah sepenuh masa), estim atau keyakinan diri amat penting. Ia adalah perasaan berkaitan dengan nilai diri kita sendiri dan ia mempunyai kaitan yang kuat dengan keseronokan, kejayaan dan kebahagiaan diri kita. Wanita yang mempunyai estim diri yang tinggi puas hati dengan kehidupan mereka dan mempunyai mental yang sihat.

Estim hanya boleh dinilai oleh diri kita sendiri, Walau bagaimanapun, ia turut disumbang oleh beberapa faktor luaran dan dalaman,Menurut buku "Panduan Menggunakan Teori Motivasi di Tempat Kerja" tulisan Prof Abdullah Hassan dan Puan Ainon Mohd, 7 faktor ini adalah:-

  1. Harta
  2. Bakat dan kebolehan
  3. Kepintaran
  4. Rupa paras
  5. Pencapaian terbias
  6. Kuasa
  7. Agama
Namun, ketujuh-tujuh faktor ini boleh berubah-ubah mengikut keadaan dan situasi seseorang. Mempunyai rasa rendah diri (rendah estim) ini akan memberi kesan buruk kepada diri sendiri, keluarga dan anak-anak.
Bayangkan seorang ibu yang sentiasa rendah diri, sudah pasti tidak dapat memberikan yang terbaik kepada anak-anaknya. Anak-anak juga berkemungkinan akan membesar menjadi orang yang rendah estim.

Estim seseorang tidak sentiasa terus-menerus kekal tinggi atau kekal rendah. Sedangkan Iman pun perlu sentiasa dibaja, apatah lagi keyakinan diri kita. Disini ada beberapa strategi untuk meningkatkan keyakinan diri bagi semua wanita diluar sana tidak kira samada anda menjawat jawatan tinggi dan profesional mahupun anda seorang pengurus rumahtangga:-

  • Cari lebih banyak kejayaan, walaupun kecil.  
    • Jika anda sentiasa mengimpikan kejayaan yang besar-besar, ada kemungkinan kejayaan itu sukar dicapai dalam masa panjang dan ini meletihkan semangat anda.
  •  Gunakan bahasa positif apabila bercakap dengan diri sendiri
    • Gantikan perasaan was-was dalam diri dan gunakan ayat-ayat yang lebih positif seperti "Aku pasti boleh selesaikan kerja ini". 
  •  Optimis
    • Jika melalui pengalaman buruk, berfikirlah mengenai hikmah dari pengalaman tersebut. Tidak usah terus terbeban dengan kesilapan dan permasalahan yang melanda. Dalam kehidupan ini tiada satu pun kebetulan. Semuanya adalah ketentuan Tuhan. 
  • Jangan Takut Mengambil Risiko
    • Risiko datang dengan keuntungan atau pengalaman. Tiada salahnya mengambil risiko. Tiada apa yang akan anda rugi dengan mengambil risiko kerana sekiranya ia berjaya, anda mendapat hasilnya. Jika ia tidak berhasil, maka anda mendapat satu pengalaman baru. 
  • Tambahkan Ilmu Pengetahuan
    • Sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan. Tidak semestinya anda pergi mendaftar kursus baru di Universiti atau Kolej. Anda boleh mendapat ilmu dari seminar-seminar motivasi diri, seminar keibubapaan dan sebagainya yang makin banyak ditawarkan pada masa ini.
  • Belajar Kemahiran Baru
    • Mempelajari kemahiran baru akan membuka lebih peluang untuk anda mencipta kejayaan-kejayaan baru. Banyak perniagaan online yang diasaskan dari rumah bermula dari individu yang mempelajari kemahiran baru dan diasah sehingga berkembang dan akhirnya dapat menjadi sumber kewangan keluarga.
  • Menghargai dan Bangga pada Hasil Kerja Sendiri
    • Apapun hasil kerja anda lakukan, banggalah dan hargailah ia. Walaupun kecil, namun ia adalah usaha anda. Sekiranya anda tidak berbangga dengan usaha anda, siapa lagi akan berbuat demikian? Setiap hasil kerja walaupun kecil, namun signifikan dan merupakan satu lagi kejayaan buat diri anda.
  • Pimpin diri sendiri
    • Kawal diri dan minda anda. Jika sering disakiti dan direndah-rendahkan, gunakan kekuatan dalaman untuk menepis segalanya. Tiada siapa yang dapat mengubah seseorang jika individu itu sendiri tidak berusaha mengubahnya. 
  • Gunakan imageri Visual Positif
    • Sebelum melakukan sesuatu perkara, bayangkan situasi dan proses tersebut. Bayangkan yang positif sahaja. Imageri positif ini akan dapat membantu melancarkan tugas anda dan seterusnya memberi keyakinan dan membuahkan kejayaan.
  • Berpakaian yang sesuai dan selesa 
    • Jadilah diri anda sendiri. Berpakaian sesuai dengan imej diri, bertepatan dengan tuntutan agama, selesa dan sedap. Imej yang kita pancarkan dari pakaian dan juga tingkah laku kita akan menjadi satu indikator bagaimana kita mahu dilayan oleh orang lain.

Semoga tips dan strategi untuk meningkatkan estim diri ini akan membantu kita untuk menjadi lebih positif dan melonjakkan diri kita sebagai wanita, ibu, pekerja dan usahawan yang berjaya. 

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms
Site Meter