Mengurus Masa Optimum



Masa itu emas. Semenjak dari sekolah rendah lagi kita sudah diajari tentang masa. Bahkan masa dalam Islam sangat ditekankan sehinggakan terdapat peringatan Al-Quran iaitu dalam Surah Al-Asr ayat 1-3.
"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati dengan kesabaran."
Masa mempunyai sifat-sifat umum seperti bergerak dengan pantas. Diam-diam sahaja kini kita melewati pertengahan tahun 2012 dan menghampiri Ramadan sedangkan terasa seperti baru semalam melayan anak yang baru hendak belajar berpuasa.

Selain itu, masa yang sudah berlalu tidak akan kembali lagi. Berapa ramai yang terdetik dalam hatinya, "jika aku mampu memutarkan masa", dan berapa ramai yang telah berjaya kembali kemasa silam? Jawapannya, TIDAK ADA.

Kualiti masa ditentukan oleh kita sendiri. Beruntunglah mereka yang menggunakan masa dengan amal kebajikan dan rugilah mereka yang sentiasa lalai dan alpa.

Kepada kita sebagai ibu, setiap detik perlu diisi dengan sebaiknya supaya anak kita kelak akan menjadi penyejuk jiwa dan mata.

Dari aspek perniagaan pula, masa itu adalah kos. Lebih banyak produk yang boleh disiapkan dalam masa tertentu, maka kos berkurangan dan keuntungan akan bertambah. Jika kita mengambil masa yang lama untuk menyiapkan sesuatu pekerjaan, maka kos akan bertambah dan natijahnya keuntungan akan berkurang. Silap-silap kita menanggung kerugian pula.

Sebagai seorang usahawan, berikut adalah sikap kita dalam menguruskan masa:-

1. Sentiasa mempunyai jadual/skedul tetap dan fleksible. Jadual tetap adalah aktiviti yang melibatkan ibadah fardhu, mesyuarat, pemantauan, pembayaran hutang dan gaji dan sebagainya. Jadual fleksible pula cont9hnya adalah bertemu pelanggan pada waktu yang sesuai dengan masa mereka.

2. Boleh membezakan antara membazir dan mencuri masa. Usahawan perlu bijak mencuri masa. Masa yang terluang perlu digunakan untuk mencari peluang baru dalam perniagaan atau mengembangkan potensi diri. Jika perlu kurangkan masa tidur, maka lakukanlah. Yang penting adalah kualiti dan bukannya kuantiti.

3. Berlumba-lumba mencari kekayaan. Mencari kekayaan bukanlah satu kesalahan sama sekali. Dengan bertambah kaya akan membolehkan kita memberi dengan lebih banyak lagi.

4. Tiada istilah masa kosong. Takutlah jika ada masa yang terluang dan tidak diisi khuatir kelak disoal nanti di akhirat. Dalam menguruskan masa secara optimum, kita perlulah bijak menentukan keutamaan atau prioriti. Tidak semua perkara perlu diselesaikan dengan segera.

Antara prinsip yang boleh digunakan untuk menentukan keutamaan adalah membuat perbandingan antara kebaikan dan manfaat, membuat perbandingan antara kerosakan dan kemudaratan serta membuat perbandingan antara kebaikan dan keburukan.

Bagi perbandingan antara kebaikan dan manfaat, keutamaan diberi kepada kebaikan yang besar dari yang kecil. kebajikan kepada masyarakat berbanding individu dan kebaikan yang kekal berbanding yang sementara.

Dalam membuat perbandingan antara kerosakan dan kemudaratan pula, kita dilarang memilih keutamaan yang membawa keburukan dan kerugian kepada orang lain. Walau bagaimanapun, jika kerugian tidak mampu dihalang, kita perlu menghalang kerugian yang lebih besar dari yang minimum serta halanglah kerugian kepada masyarakat dengan menanggung kerugian kepada individu.

Dan akhirnya, semasa membuat perbandingan antara kebaikan dan keburukan, berilah keutamaan kepada perkara yang mempunyai kebaikan melebihi keburukan.

Semoga dengan tips pengurusan masa ini akan menambahkan lagi nilai perniagaan kita.

Diolah semula dari buku: Jejak Bisnes Rasul susuan Mohamed Sulaiman Ph.D dan Aizuddinur Zakaria terbitan PTS.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Grants For Single Moms
Site Meter